Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Salam Negaraku Malaysia

 

PI foto 2017

INTAN adalah pusat kecemerlangan latihan sektor awam yang menawarkan pelbagai kursus serta wacana perkongsian ilmu untuk memantapkan intelektual, sahsiah dan kompetensi penjawat awam merentasi skim dan gred jawatan. INTAN telah bergerak di atas trajektori transformasi dalam penyampaian perkhidmatan yang lebih kreatif, inovatif dan kos efektif untuk menjana produktiviti di kalangan penjawat awam.

 

INTAN turut berperanan membudayakan kecemerlangan gapura ilmu dengan bergiat aktif di dalam bidang penyelidikan dan penerbitan, konsultasi dan khidmat nasihat serta fasilitasi untuk memperkasakan governan dan tadbir urus dalam melahirkan penjawat awam kelas pertama yang komited dan berintegriti tinggi.

 

Seiring dengan agenda kerajaan menjadikan Tahun 2017 sebagai Tahun Ekonomi Internet, pembelajaran menerusi digital learning diperhebatkan bagi memenuhi keperluan pembelajaran berterusan penjawat awam. Selain itu, kebitaraan INTAN turut disemarakkan menerusi rangkaian kolaborasi pintar dengan agensi-agensi tersohor di dalam dan luar negara.

 

INTAN turut menyokong usaha pemikiran ‘futuristic’ dalam gagasan Transformasi Nasional (TN50) yang merangka satu peta hala tuju bagi mencarta kedudukan negara pada tahap teratas di persada global. Saya amat berharap para jurulatih atau Subject Matter Experts INTAN dapat membangunkan penjawat awam yang boleh menjadi tunjang kukuh kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.

 

Selamat melayari Portal INTAN.

 

DR. MOHD GAZALI ABAS 

Pengarah
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
Jabatan Perkhidmatan Awam
Malaysia