Cetak

Inisiatif Transformasi Perkhidmatan Awam

Sejajar dengan Agenda Transformasi Negara untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diberi mandat untuk menerajui transformasi perkhidmatan awam. Ketua Setiausaha Negara semasa berucap di Majlis Perdana Penjawat Awam (MAPPA) ke-13 pada 11 Mac 2013 telah menyatakan paradigma baharu dalam konteks transformasi negara menuntut perkhidmatan awam untuk menjadi lebih fleksibel dan tangkas dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.


Beliau seterusnya mengumumkan transformasi perkhidmatan awam akan diterajui oleh dua agensi pusat iaitu JPA dan Kementerian Kewangan bagi memastikan perkhidmatan awam kekal relevan.


Setiap penjawat awam merupakan pemegang taruh yang penting dalam pelaksanaan transformasi perkhidmatan awam. Untuk mendapatkan sokongan daripada keseluruhan anggota perkhidmatan awam serta agensi-agensi kerajaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah memperkenalkan satu pendekatan yang holistik dengan melibatkan sokongan dan komitmen daripada Kementerian-kementerian melalui Lab Transformasi Perkhidmatan Awam (LTPA). Bermula pada bulan April hingga Jun 2014, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah berjaya menganjurkan tujuh siri LTPA.


Secara keseluruhannya, LTPA ini berjaya mengumpulkan 22 buah kementerian dengan kehadiran seramai 779 orang peserta untuk memformulasikan pelan transformasi kementerian masing-masing. Susulan daripada LTPA ini, sebanyak 605 Langkah Strategik (LS) dan 1,461 Inisiatif Transformasi berjaya dihasilkan sepanjang LTPA ini.


Untuk maklumat lebih lanjut boleh layari http://www.jpa.gov.my