PROGRAM BITARA

Research Colloquium

research_colloquium

 

Penganjuran Research Colloquium 2017 merupakan julung-julung kalinya dilaksanakan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Kedoktoran Falsafah, untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka. Bagi tahun 2017, tema yang dibawakan adalah ‘Acculturation of Research in the Public Sector’ dan pembentangan adalah meliputi bidang-bidang:

  1. Pengurusan dan pentadbiran;
  2. Pentadbiran sosial dan kriminologi;
  3. Ekonomi dan pentadbiran perniagaan;
  4. Sains dan teknologi;
  5. Sumber manusia dan komunikasi;
  6. Pendidikan dan pengajian Islam

 

Menerusi penganjuran Research Colloquium ini, penemuan-penemuan kajian dapat disebar luas, dibahas sebagai input signifikan dan diteliti untuk diaplikasikan bagi menyumbang kepada penggubalan dasar dan meningkatkan keberkesanan serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan ke arah kesejahteraan kehidupan rakyat seluruhnya.

 

Research Colloquium ini menyasarkan keberhasilan penerbitan prosiding yang mengandungi himpunan kertas penyelidikan yang dibentangkan; memuat naik prosiding kertas-kertas penyelidikan ke dalam pangkalan data INTAN Institutional Memory, di samping pembentangan resolusi mengandungi dapatan-dapatan kajian yang mempunyai implikasi terhadap dasar dan penyampaian perkhidmatan.

 

Selaku institusi latihan dan pembelajaran perdana bagi sektor awam, INTAN berperanan sebagai pemacu transformasi ke arah memartabatkan keilmuan dan membudayakan penyelidikan dalam sektor awam. Bagi dapatan dan saranan penyelidikan yang berpotensi besar ke arah menjana impak signifikan dari segi kualiti penyampaian dan produktiviti sektor awam, INTAN dan JPA akan mengetengahkan penemuan-penemuan baharu ini kepada agensi-agensi Kerajaan yang terlibat supaya pelaksanaannya kelak dapat menyumbang manfaat besar kepada rakyat keseluruhannya.

Muat turun prosiding Research Colloquium 2017