PROGRAM BITARA

Seminar Kelestarian Keselamatan Negara

IMG 4745-min

 

Seminar Kelestarian Keselamatan Negara bertemakan ‘Cabaran Fahaman Radikal Dan Ekstremisme Terhadap Keselamatan Negara’ merupakan salah satu program untuk membincangkan isu-isu berkaitan keselamatan Negara. Seminar ini bertindak sebagai medan wacana yang menyalurkan maklumat sahih dari sumber yang tepat mengenai ancaman fahaman radikal dan ekstremisme terhadap negara.

 

Justeru, INTAN dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Seminar Kelestarian Keselamatan Negara pada 16 April 2015 (Khamis) bertempat di Auditorium INTAN Bukit Kiara dan telah dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jami Khir bin Hj. Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Penganjuran seminar ini adalah selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri agar warga perkhidmatan awam diberikan penerangan mengenai maksud jihad yang sebenar dan aplikasinya dalam konteks kontemporari.

 

Pada majlis perasmian ini juga, YB Menteri turut melancarkan program ‘Penerangan Jihad Peringkat Perkhidmatan Awam Malaysia’. Seminar ini turut dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM serta hampir 400 orang peserta yang terdiri daripada warga perkhidmatan awam dari pelbagai agensi/jabatan dan kementerian.

 

Aktiviti yang diadakan sepanjang seminar adalah:

  • Seminar ‘Fahaman Radikal dan Ekstremisme: Apa Sebenarnya?
  • Seminar ‘Mencerna Konotasi Jihad’
  • Seminar ‘Membawa Kebaikan dan Menolak Kerosakan’
  • Seminar ‘Fahaman Radikal dan Ekstremisme: Bagaimana Pendirian dan Pendekatan Kita’