Malaysia yang Makmur, Inklusif dan Mampan pada Masa Hadapan
Objektif RMKe-12 adalah untuk Malaysia mencapai status negara yang makmur, inklusif dan mampan sejajar dengan WKB 2030 dan Agenda 2030. Pertumbuhan ekonomi yang mampan akan membolehkan pengagihan ekonomi secara lebih adil, saksama dan inklusif kepada semua kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah. Ini akan menyediakan taraf hidup yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia. RMKe-12 juga merangkumi strategi dan inisiatif bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara. Ini adalah penting untuk memastikan pembangunan sosioekonomi yang mampan.
RMKe-12 adalah bertunjangkan tiga tema yang menumpukan kepada usaha menjana semula ekonomi, memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti serta melonjakkan kemampanan. Teras ini disokong oleh empat pemangkin dasar yang menumpukan kepada usaha membangunkan bakat masa hadapan, mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi, menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta memperkukuh perkhidmatan awam bagi mencapai negara yang lebih makmur, inklusif dan mampan. Selaras dengan RMKe-12 yang transformatif, pemacu perubahan yang merupakan idea baharu dan inovatif yang mencetus peralihan pemikiran dan mengubah dengan ketara pendekatan dalam membangunkan negara akan diperkenalkan. Pemacu perubahan ini akan memastikan Malaysia mencapai objektif WKB 2030, iaitu pertumbuhan mampan seiring dengan pengagihan yang adil dan saksama antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari: Laman Web Rasmi RMK12